Friday, September 5, 2014

Info - Apa punca fibroid










Fibroids adalah sejenis tumbuhan daging yang berasal dari otot rahim
(myometrium) dan ia merupakan tumbuhan yang paling sering melanda
wanita dan ia bukan kanser.
Ramai wanita yang ada fibroid dalam rahimnya tanpa disedari, ia tidak
menimbulkan apa2 simptom atau gejala. Bila meningkat umur 
empat puluhan, 30% wanita ada tumbuhan fibroids.

Ada yang tumbuh satu sahaja dan besar, ada yang banyak ketul, 
pernah saya buang 33 biji fibroid dari seorang wanita.








Apakah Ketumbuhan Fibroid?

Ketumbuhan fibroid ialah sejenis ketumbuhan yang berlaku pada 
dinding rahim, khususnya pada lapisan otot.
Sebenarnya, rahim mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling luar ialah
lapisan yang nipis yang dinamakan serosaBahagian tengahnya ialah
lapisan otot atau myometrium yang boleh mengembang dan membesar
ketika seseorang wanita sedang hamil. Ketika kandungan dalam 
peringkat pelahiran sebelum bersalin, otot ini akan menguncup untuk
mengeluarkan bayi dan setelah bersalin, otot ini akan kuncup dan pulih 
seperti sediakala. Walaubagaimanapun, ketumbuhan boleh berlaku pada
lapisan otot ini, iaitu ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot 
bercampur dengan tisu berserat atau tisu penyambung.

Lapisan paling dalam ialah lapisan endometrium. Lapisan ini sering 
berubah-ubah mengikut pusingan haid. Apabila seseorang wanita tidak hamil,
maka sebahagian daripada lapisan endometrium akan luruh dan ia akan
keluar bersama-sama dengan darah haid. Darah haid adalah campuran 
antara darah dengan tisu-tisu dan sel-sel dari lapisan endometrium, 
lendir serta kuman-kuman bakteria dan lain-lain. Biasanya, campuran ini
dinamakan “darah kotor”. Sebenarnya, darah tidak akan menjadi 'kotor'
sebelum ia keluar dan bercampur dengan bahan-bahan yang saya nyatakan
tadi.



Mengapa Tumbuh Fibroid?

Ramai orang tertanya-tanya mengapa seseorang wanita ditumbuhi
fibroid pada lapisan dinding rahim. 
Sebenarnya, punca bagi penyakit ini tidaklah diketahui, dan mengapa
ia tumbuh pada sesetengah orang sedangkan yang lainnya tidak.
Ada satu kajian yang menunjukkan bahawa lebih kurang 25 peratus
daripada wanita sebelum meninggal dunia akan menghidapi penyakit
fibroid pada rahimnya tetapi tidak semua mengunjungi dan mendapat
rawatan daripada doktor kerana kebanyakan fibroid ini tidak menimbulkan
sebarang tanda atau menggangu kesihatan.
Ada yang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini sering berlaku
di kalangan wanita yang tidak berkahwin atau lambat berkahwin dan
juga yang berkahwin tetapi sukar untuk mengandung dan beranak.
Saya juga sering menjumpai fibroid di kalangan wanita yang mengalami
masalah ketidaksuburan atau kemandulan. Di samping ketumbuhan fibroid,
mereka juga menghidap penyakit endometriosis, iaitu sejenis penyakit
di mana darah kotor melimpah ke belakang rahim menyebabkan 
berbagai-bagai masalah pada saluran peranakan, kilang telur dan
persekitaran rahim.
Mana yang timbul dahulu, fibroid ataupun masalah ketidaksuburan 
tidaklah diketahui. Bagaimanapun, apa yang nyata masalah ketidaksuburan
sering berkait rapat dengan ketumbuhan fibroid. Walaupun demikian,
wanita yang pernah beranak juga tidak terlindung daripada penyakit fibroid.
Seringkali kita lihat di kalangan wanita yang menjangkau ke umur 
tiga puluhan atau empat puluhan dan setelah anak mereka besar 
walaupun mereka telah melahirkan mungkin empat atau lima orang
anak selepas itu, mereka mendapati sukar untuk beranak lagi dan 
beberapa tahun kemudian mereka mengalami berbagai-bagai masalah 
serta gangguan haid, dan apabila diperiksa didapati mereka mengalami
ketumbuhan fibroid.

Fibroid Akibat Ketidakseimbangan Hormon:

 Ada orang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini adalah akibat 

daripada ketidakseimbangan dalam hormon wanita. Perlu diberitahu di sini,
bahawa wanita mempunyai dua jenis hormon, iaitu estrogen dan
progesteron. Biasanya, estrogen meningkat naik sejurus selepas haid dan
paras progesteron pula meningkat selepas telur dikeluarkan, iaitu 
dua minggu selepas keluar haid sehingga tempoh haid akan datang. 
Oleh itu, keadaan yang tidak seimbang, khususnya jika terlalu banyak
estrogen dan tidak mencukupi progesteron dalam badan seseorang, 
boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah seperti pendarahan yang
tidak tentu masa, ketumbuhan fibroid pada rahim serta keadaan 
ketidaksuburan atau kemandulan.

Sukar untuk kita ketahui, mengapa kandungan estrogen dan progesteron
menjadi tidak seimbang kerana segala-galanya adalah dikawal oleh 
hormon yang dikeluarkan oleh kilang pituitari yang terletak di dalam otak.
Fungsi kilang pituitari ini mudah dipengaruhi oleh keadaan mental, emosi
dan rohaniah seseorang. Jika ada gangguan pada tahap tersebut, 
maka rangkaian hormon yang mengawal pusingan dan mengawal paras
estrogen dan progesteron boleh terganggu. Desakan dan tekanan hidup
yang sering dialami oleh kebanyakan wanita yang bekerja juga akan 
mengganggu kawalan dan fungsi rangkaian hormon yang mengawal 
pusingan haid seseorang. Oleh itu, keadaan seperti ketidaksuburan 
dan penyakit ketumbuhan pada rahim serta endometriosis sering berlaku
di kalangan wanita moden yang bekerja.
Tidak ada bukti-bukti yang menunjukkan, bahawa ketumbuhan fibroid ini
dipengaruhi oleh unsur-unsur lain seperti makanan, keracunan ataupun
jangkitan kuman.

No comments: